ROHINGYA: BANTULAH SAUDARAMU WALAUPUN HANYA 10 SEN

Mukaddimah
Tatkala kebanyakkan negara dan
masyarakat umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, ditimpa pelbagai
bentuk ujian, dugaan dan tribulasi, tetapi ahamdulillah,
Malaysia pada hari ini masih lagi dikurniakan nikmat keamanan dan
kesejahteraan dan rezeki yang masih melimpah-ruah yang menjarakkan kita
daripada kancah peperangan, musibah dan bencana alam yang begitu teruk.
Nikmat yang kita peroleh pada hari ini, haruslah disyukuri sebelum
kejadian melanda seperti saudara kita lain hidup dalam keadaan yang
merana, kefakiran, sentiasa diburu oleh pihak musuh dan hidup dalam
keadaan ketakutan. Apatah lagi yang hanya menanti ihsan dan pertolongan
dari saudara yang lain hanya untuk sebuku roti atau sesuap nasi bagi
mengalas perut dalam meneruskan kehidupan dengan penuh sengsara serta
serba kekurangan.
Tragedi pelarian Rohingya menjadikan
diri yang dhaif ini tersentak dan terpaku dalam mengimbau kenangan dan
ingatan tentang musibah dan ujian yang menimpa masyarakat dan saudara
seagama kita, yang tiada berkesudahan. Ya Allah ampunilah kami di atas
kelalaian kami yang melupakan ujian tribulasi menimpa saudara-saudara
kami.
Justeru itu, Bayan Linnas pada kali ini,
adalah memperingati dan menunjukkan nilai kasih sayang buat saudara
Rohingya yang amat memerlukan pertolongan. Walaupun catatan ini yang
begitu ringkas tetapi diharap dapat memberi sedikit kesedaran dan
penghayatan buat seluruh warga Malaysia dan umat sejagat.
Bayan Linnas kali ke-21 ini dengan bertajuk “Rohingya: Bantulah Saudaramu Walaupun Hanya 10 Sen”. Semoga memberi manfaat, kesedaran dan penghayatan kepada kita semua, Amin.
Siapa Sebenarnya Rohingya
Etnik-etnik Rohingya bukannya pendatang
asing tanpa izin seperti yang datang dari Bangladesh, Indonesia ataupun
Nepal dan dilambakkan secara haram di negara ini. Perlu jelas bahawa
etnik Rohingya sebenarnya tergolong sebagai pelarian. Wilayah Rakhine
di Myanmar merupakan tanah serta negeri mereka.
Etnik Rohingya adalah kelompok minority
Muslim yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, Myanmar. Walaupun hampir
800,000 Rohingya tinggal di sana sejak turun temurun malah berabad,
kerajaan Burma tidak mengiktiraf mereka kewarganegaraan mereka.
Pada tahun 1978, junta tentera Myanmar
cuba menghalau mereka daripada tanah air mereka sendiri. Ini
menyebabkan ramai yang lari ke Bangladesh. Akta Kewarganegaraan 1982
yang digubal oleh tentera Junta Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya
sebagai salah satu etnik di Myanmar mengakibatkan mereka ini tidak
mendapat kewarganegaraan. Ini menyebabkan mereka terasing dari latar
sosio ekonomi dan politik negara.
Myanmar mengiktiraf 135 golongan etnik
dan etnik Rohingya langsung tidak tersenarai. Etnik ini mempunyai
kampung dan tanah di Rakhine, sebuah kawasan yang kaya dengan hasil bumi
seperti minyak, gas dan sebagainya dan ini merupakan salah satu usaha
pihak tentera untuk mengambil tanah mereka.
Kezaliman demi kezaliman terus dikenakan
kepada mereka sehingga saat ini oleh pihak kerajaan dan juga sebahagian
besar golongan ‘ekstremis’ sami Buddha yang dipimpin oleh Ashin
Wirathu.[1]
Kezaliman Terhadap Muslim Rohingya
Pembantaian dan kekejaman terhadap
Muslim Rohingya di Myanmar sebenarnya bukan pertama kalinya di tahun
ini, namun ianya telah berlangsung terlalu lama.[2]
Demi menyelamatkan nyawa daripada
tangan-tangan yang kejam, etnik Rohingya sanggup melarikan diri walaupun
terpaksa meredah ombak lautan berminggu-minggu lamanya. Keadaan itu
terpaksa dilalui rakyat dari wilayah Arakan, Myanmar kerana komuniti
tersebut semakin terhimpit di bumi sendiri.
Memetik kenyataan Penyelaras Bantuan
Kemanusiaan Rohingya Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat
(Permuafakat), Rashid Md Ali berkata, beliau antara individu
berpengalaman menjaga kebajikan kumpulan itu sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, sejak 2011 hingga kini,
1,000 pelarian mendarat di Pulau Pinang dan kemudian diserah kepada
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Menurutnya,
pelarian Rohingya terpaksa menempuh pelbagai ranjau bagi meneruskan
kehidupan termasuk menaiki bot 12 hingga 14 hari untuk pergi ke tempat
lebih selamat. “Sepanjang tempoh itu juga mereka hanya makan beras saja
dan kadangkala ikat perut menahan lapar.
“Anak-anak kecil ada yang tidak
berpakaian sementara golongan ibu sehelai sepinggang sahaja, memang
menyedihkan, semuanya kerana demi menyelamatkan nyawa,”[3]
Begitu juga dengan perlakuan zalim lain seperti pembunuhan kejam, rogol (termasuk bawah umur)[4] dan lain-lain yang pasti meluluhkan hati kita sebagai saudara seagama mereka.
Rohingya: Bantulah Saudaramu Walaupun Hanya 10 Sen.
Isu Rohingya memperlihatkan kepada kita,
bahawa sejauh mana kepekaan dan kasihan belas atas ujian dan bencana
yang berlaku membabitkan saudara-saudara seagama dengan kita.
Keprihatinan, nilai kasih sayang dan bantuan yang dihulurkan adalah
ubat yang terbaik dalam kita mendepani isu yang besar ini. Sesungguhnya
hati dan perasaan ummat Islam telah diikat dengan satu ikatan yang
sesekali tidak akan putus dan berlanjutan dalam apa jua keadaan yang
menimpa. Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Maidah: 2)
Di samping itu juga, sesungguhnya peringatan yang tegas disabdakan oleh Nabi SAW dalam satu riwayat yang dhaif jiddan[5]:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ المُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil tahu urusan orang Muslim, maka bukan dari kalangan mereka.”
Riwayat al-Tabarani (7/270)
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang mengabaikan dan tidak prihatin terhadap sesama Islam.
Sebagai mengukuhkan kenyataan di atas, dalam sabdaan Baginda SAW yang lain dinyatakan:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ
كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ
الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي
الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي
الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ
الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: Siapa yang membantu
menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari sebuah kesulitan di antara
berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan salah
satu kesulitan di antara berbagai kesulitannya pada hari kiamat. Dan
siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah
mudahkan baginya di dunia dan akhirat dan siapa yang menutupi (aib)
seorang muslim Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat. Allah
akan selalu menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya.
Riwayat Muslim (2699)
Peringatan dan renungan yang disabdakan
Nabi SAW ini adalah satu sikap tanggungjawab dan keprihatin seluruh
ummat Islam. Baginda sendiri menunjukkan contoh apabila seorang
perempuan yang beragama Islam dicabul kehormatannya oleh orang Yahudi di
Madinah, maka Rasulullah SAW mengambil tindakan yang tegas menghalau
suku Yahudi itu dari bumi Madinah. Inilah penegasan Nabi SAW terhadap
maruah dan nyawa umatnya.
Di sampaing itu juga, penekanan dan
penegasan Nabi SAW terhadap seluruh umatnya tentang betapa mustahak dan
pentingnya untuk membina dan mengikat tali persaudaraan sehingga
terpahat dalam sanubari kita. Perkara ini hanya mampu difahami oleh
mereka yang benar-benar mencari dan mendalami akan suruhan Baginda SAW.
Ini amat sukar untuk dihayati dan disemai dalam jiwa kita.
Dalam peringatan ini, Nabi SAW amat
menitik beratkan nilai kasih-sayang dan amalan tolong-menolong. Nilai
yang disemaikan oleh Baginda SAW ini kepada sahabatnya yang lain,
seharunya dijadikan suri teladan buat kita semua. Berasaskan nilai
inilah, Islam mampu untuk menakluk hampir keleuruh pelosok dunia. Dengan
berbekalkan iman yang mantap dan persaudaraan yang teguh mampu untuk
membuka kota besar seperti Rom dan Parsi. Oleh itu, nilai
tolong-menolong dan belas ihsan adalah satu nilai yang teramat mulia dan
penting untuk kita semaikan ke dalam diri setiap insan.
Nabi SAW bersabda:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا .
فَقَال رجلٌ : يا رسولَ اللهِ ، أُنْصُرُه إِذَا كَان مَظْلُومًا ،
أَفَرَأَيتَ إِذا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أنصُرُه ؟ قَالَ : تحجِزُه ، أَوْ
تُمْنِعُهُ ، مِنَ الظلمِ فإنَّ ذَلِكَ نَصْرُه
Maksudnya: “Tolonglah saudara kamu
yang zalim atau yang dizalimi” Berkata seorang lelaki: “Wahai
Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku
akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” Jawab Baginda: “Engkau
boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian
bererti engkau menolongnya.”.
Riwayat Bukhari (6952)
Ucapan Penghargaan Buat Perdana Menteri, Ulama, NGO Dan Rakyat Malaysia
Pada kesempatan ini, marilah kita
memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT, di atas taufiq dan limpahan
rahmat-Nya kepada kita, dalam mendepani kegawatan isu Rohingya ini masih
terdapat manusia yang dipelihara naluri dan sifat belas kasihan dan
berasa bertanggungjawab kepada saudara Rohingya.
Inilah sifat manusiawi dan insani yang disulami dengan ihsan sepatutnya wujud dalam masyarakat Malaysia dan juga umat sejagat.
Oleh itu, saya turut merakamkan jutaan
terima kasih saya buat Perdana Menteri Malaysia di atas kepekaan dalam
menangani isu ini seperti mana yang diucapkan oleh beliau:
Saya memberitahu kepada Setiausaha
PBB Ban Kim Moon, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang mesti
dipandang berat semua Negara. Tidak hanya melibatkan Negara ASEAN,
tetapi isu kemanusiaan sejagat yang perlu perhatian semua pihak.[6]
Atas tindakan Perdana Menteri yang membenarkan sebahagian untuk mendarat dan memberikan bantuan kemanusiaan amatlah dihargai.
Begitu juga keprihatinan para ulama dan
pemimpin yang memberi bantuan serta menyokong usaha untuk menyelamatkan
krisis yang berlaku ini kerana ia adalah krisis kemanusiaan yang berhak
untuk hidup. Mereka mengemukakan pelbagai bentuk cadangan yang boleh
dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Di samping itu juga, kita doakan dan
pohonkan kepada Allah SWT agar segala bantuan, sifat keprihatinan dan
segala usaha yang kita lakukan diseluruh peringkat masyarakat yang
terdiri daripada kerajaan Malaysia, badan NGO, para ulama dan asatizah
serta seluruh rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung atau tidak,
dalam sama-sama berganding bahu meringankan beban dan kesempitan buat
seluruh masyarakat Rohingya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Isu Pelarian Rohingya yang membanjiri
perairan negara serantau dan Malaysia perlu dipandang serius. Tragedi
yang berlaku ini begitu menginsafkan kita, bukan isu sempadan, bangsa,
warna kulit sahaja tetapi isu kemanusiaan dan insani yang wajib diberi
bantuan.
Kita sering kali mengambil ringan
terhadap isu yang berlaku ke atas saudara kita di atas alasan
persempadanan dan perbezaan geografi, namun lebih jauh daripada itu,
nilai persaudaraan seagama dan seakidah telah membuka sempadan dan
merentasi seluruh benua.
Nilai agama ini seharusnya dihayati
bersama oleh seluruh umat Islam, jangan kita biarkan saudara kita dalam
keadaan keperitan di tengah samudera tanpa makanan dan minuman yang
hanya mengharapkan Tuhan. Ingatlah yang musuh sentiasa cuba menindas
musuhnya yang diibaratkan seperti seekor serigala yang membaham seekor
kambing secara rakus. Bencana dan ujian yang menimpa mereka turut juga
dirasai oleh kita bersama.
Sesungguhnya agama Islam ini merupakan
satu rahmat buat seluruh umat manusia. Nilai kasih sayang,
bantu-membantu dan bekerjasama merupakan elemen yang begitu penting di
dalam Islam. Umatnya disuruh untuk menolong manusia dalam kesempitan,
memberi perlindungan kepada yang lemah dan menghulurkan kepada yang
memerlukan. Oleh itu, marilah sama-sama kita tanamkan azam untuk
sama-sama kita menghulurkan segala upaya yang ada bagi meringankan beban
dan kesempitan saudara-saudara kita, dan ini akan dapat menjarakkan
kita daripada neraka Allah SWT, seperti mana Nabi SAW bersabda:
اتَّقوا النَّارَ ولو بشقِّ تمرةٍ
Maksudnya: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.”
Riwayat al-Bukhari (6540)
Antara jalan dan cara yang dapat kita hulurkan bantuan buat saudara Rohingya adalah:
- Membuka tabung khas untuk Rohingya dalam isu ini.
- Masjid di seluruh Malaysia menggunakan tabung pada hari Jumaat sebagai bantuan dan sedikit kempen kesedaran untuk tujuan itu.
- Majlis Agama atau Baitul Mal dijadikan sebagai tempat pengumpulan dana dan pengagihan bantuan kepada masyarakat Muslim Rohingya.
- Menggesa pihak OIC untuk dalam mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu perlarian Rohingya yang tiada arah tuju sehingga berkampung di lautan samudera.
- Menggesa pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi tekanan dan mendesak kerajaan Mynmar.
Saya yakin dengan hati budi masyarakat
Malaysia yang cepat tersentuh jiwanya apabila berlakunya ujian dan
tribulasi ke atas saudara segama dengan kita. Justeru itu, marilah kita
melakukan tindakan dengan bantuan yang seadanya untuk disampaikan kepada
masyarakat Rohingya di atas dasar saudara seagama dan simpati yang
mendalam terhadap hak insani.
Penutup
Ya Allah, Tuhan Rabb al-‘Alamin yang
berkuasa setiap atas sesuatu yang bersifat Maha Pengampun , ampunlah
dosa kami atas kecuaian dan ketaqsiran kami dalam membantu saudara-saudara kami.
Ya Allah, selamatkanlah saudara kami dari mehnah
tribulasi dan ujian yang sedang mereka hadapi. Semoga kabus dan gerhana
kehidupan mereka akan diganti dengan cahaya dan sinar harapan untuk
terus hidup dengan sempurna dan selesa.
Saya pernah ke Makkah beberapa tahun
dahulu pada musim Ramadhan dan isu Rohingya telah di doakan oleh Imam
Makkah dan Madinah ketika solat tarawih. Ini menunjukkan isu ini diberi
perhatian penuh oleh masyarakat Islam dunia. Rintihan mereka telah
menjadi igauan buruk kepada denyut nadi umat Islam yang lain, yang
seolah-olah sama-sama merasa kesakitan tersebut. Ini kerana nilai ukhuwwah dan mahabbah begitu ampuh dan utuh. Benarlah sabda Nabi:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ
وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ
عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: Perumpamaan sesama Mukmin
pada kasih sayang, rahmat dan Ihsan seumpama sebuah jasad. Apabila salah
satu anggota mengadu sakit, maka anggota yang lain berjaga malam dan
demam.
Riwayat Bukhari (6011), Muslim (2556)
Sekali lagi, saya tegaskan di sini yang
bahawa isu Rohingya yang terkena kepada saudara kita adalah
tanggungjawab kita bersama dalam menghulurkan bantuan walaupun hanya 10
sen cuma.
Semoga usaha yang kita lakukan ini
mendapat pahala di sisi Allah SWT dan dikira sebagai amalan jariah yang
diterima untuk bekalan dunia dan akhirat kita. Amin. Sekian. Terima Kasih Malaysia.
Akhukum Fillah,
DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan
17 Mei 2015 Bersamaan 28 Rejab 1436
Tiada ulasan:
Catat Ulasan