Irsyad Fatwa Ke-28: Bulan Sya’ban: Keistimewanya Mengikut Neraca Nas

Mukaddimah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah,
selawat dan salam ke atas junjungan kepada nabi Muhammad SAW begitu juga
keluarga, para sahabat dan yang menikut jejak langkahnya hingga hari
kesudahan. Dalam ruangan tazkirah ringkas ini, suka saya nyatakan isu
berkaitan bulan Sya’ban dan beberapa hukum fiqh agar kita benar-benar
memahami mengikut neraca nas syarak.
Dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami akan kemukakan berkenaan dengan isu Bulan Sya’ban: Keistimewanya Mengikut Neraca Nas. Semoga kita diberi kefahaman dengan sebaiknya dalam isu ini.
Kelebihan Puasa Bulan Sya’ban
Ada banyak dalil yang menunjukkan galakan berpuasa pada bulan Sya’ban termasuk amalan Rasulullah SAW. Antaranya:
Pertama: Daripada Abu Salamah RA berkata, aku bertanya kepada Aisyah R.Anha tentang puasanya Nabi SAW. Lantas beliau menjawab:
كانَ يَصومُ حتَّى نَقولَ قَد صامَ
ويُفطِرُ حتَّى نَقولَ قد أفطَرَ ولم أرَهُ صامَ مِن شَهْرٍ قطُّ أَكْثرَ
مِن صيامِهِ من شعبانَ كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّهُ كانَ يَصومُ شعبانَ
إلَّا قَليلًا
Maksudnya: "Beliau
biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus).
Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka.
Dan aku tidak melihat beliau berpuasa yang lebih banyak dibandingkan
pada bulan Sya’ban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Sya’ban
semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan sya’ban kecuali
sedikit."
Riwayat Muslim (1156)
Kedua: ‘Aisyah RAnha memberitahu Abu Salamah:
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ
كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ
“Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada
suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada
bulan Sya’ban seluruhnya.”
Riwayat al-Bukhari (1834)
Para ulama berbeza pendapat dalam
memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala
Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada
sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian
lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah SAW hanya berpuasa
sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk
keseluruhan bulan Sya’ban.
Dari perbezaan pendapat yang timbul ini,
al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menguatkan pendapat yang
menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari
keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban.
Beliau menukilkan perkataan Imam Ibn al-Mubarak:
جائر في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره
“Menurut konteks bahasa
Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu
bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si
fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan
malam serta sibuk dengan urusan lain.”[1]
Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah yang mafhumnya,
“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.”
Hadis Riwayat al-Bukhari (1833)
Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah SAW:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ
بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ
صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Maksudnya:“Jangan
salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa
sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa
berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari
tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (1781)
Maka dari apa yang dapat difahami di
sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan
Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa
sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.
Ketiga: Daripada A’isyah R.Anha, beliau mengatakan,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ
حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا
رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Terkadang Nabi SAW puasa
beberapa hari sampai kami katakan: Beliau tidak pernah tidak puasa, dan
terkadang beliau tidak puasa terus, hingga kami katakan: Beliau tidak
melakukan puasa. Dan saya tidak pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi
wa sallam berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadhan, saya juga
tidak melihat beliau berpuasa yang lebih sering ketika di bulan Sya’ban.
Riwayat Bukhari (1969) dan Muslim (1156)
Antara sebab Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban pada kebanyakkan harinya telah dinyatakan sendiri oleh Baginda SAW.
شعبانُ بين رجبَ ورمضانَ يغفلُ الناسُ عنه تُرفعُ فيه أعمالُ العبادِ فأُحِبُّ أن لَا يَرْفَع عَمَلِي إَلَّا وأنَا
صَائِمٌ
Maksudnya: Bulan Sya’ban, ada di
antara bulan Rajab dan Ramadhan, banyak manusia yang melalaikannya. Saat
itu amal manusia diangkat, maka aku suka jika amalku diangkat ketika
aku sedang puasa.
Riwayat An-Nasai, 1/322 dalam kitab Al-Amali. Hadith Hasan
Keempat: ‘Usamah Ibn
Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak
pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau
berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ
بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ
إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا
صَائِمٌ
Maksudnya:“Sya’ban adalah
bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan
oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan
diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku
diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
Riwayat al-Nasa’i (2357)
Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban
Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Sya’ban antaranya:
Pertama: Sabda Rasulullah SAW
إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إِلَّا لِمَشْرِكٍ أَوْ مُشَاحنٍ
Maksudnya: Allah melihat kepada
hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua
hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh
(orang benci membenci)
Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 3/135.
Sebahagian ulama hadis mensahihkannya,
manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini
diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’az Ibn Jabal,
Abu Tha’labah al-Khusyani, ‘Abdullah Ibn ‘Umar, Abu Musa al-Asyari, Abu
Hurairah, Abu Bakar al-Siddiq, ‘Auf Ibn Malik, dan ‘Aisyah R.Anhum.
Hadith ini antaranya telah diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Abi Syaibah,
‘Abd al-Razzaq, al-Tabarani, al-Bazzar, dan al-Mundziri.
Secara umum antara ulama yang
mensahihkannya adalah Ibn Hibban, Ibn Hajar al-Haithami, dan lain-lain.
Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Syeikh
al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami’ al-Tirmidzi.
Seandainya sahih sekalipun hadis ini,
maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban secara umum.
Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, “Dalam hal ini,
pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama
ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan
bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.”[2]
Oleh karena keutamaan malam Nisfu
Sya’ban memiliki dasar yang sangat kuat, umat Islam sejak generasi salaf
banyak yang menghidupkannya dengan aneka ragam ibadah seperti solat,
doa dan lain-lain.
Kami kemukan di sini beberapa pendangan ulama berkenaan dengan malam Nisfu Sya’ban antaranya:
Pertama: Al-Imam al-Syafi’i berkata dalam kitab al-Umm sebagai berikut:
بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ
الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ
وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ
وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ
Maksudnya: “Telah sampai kepada kami
bahwasanya selalu dikatakan bahwa permohonan akan dikabulkan dalam lima
malam, yaitu malam Jum’at, malam hari raya Idul Adha, malam hari raya
Idul Fitri, awal malam di bulan Rajab dan malam Nisfu Sya’ban[3]
Kedua: Syeikh al-Islam IbnTaimiyah, dalam fatwanya menyebut berkenaan solat malam Nisfu Sya’ban , lantas beliau menjawab:
إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ
النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ
طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ :
وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ
وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا
يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ
تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ
هَذَا.
Maksudnya: “Apabila seseorang
menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jamaah
tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka
hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam
Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadits dan atsar tentang
keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka
menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh
seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya
oleh kaum salaf dan ia mempunya hujjah, oleh karena itu hal seperti ini
tidak boleh diingkari.[4]
Ketiga: Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menyatakan:
وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ
التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ
فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ
بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي
الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ
رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ
جَمَاعَةً : لَيْسَ ذَلِكَ بِبِدْعَةٍ .
Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum
Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh
menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin
Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan shalat di dalam
Masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh
al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai shalat
sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid-masjid secara berjamaah: “Hal
tersebut tidak termasuk bid’ah.”[5]
Nas Yang Dikatakan Tidak Benar atau Maudhu’.
Terdapat beberapa nas yang selalu kita dengar tetapi dibahaskan oleh ulama secara panjang lebar antaranya dikatakan.
Pertama: Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إذا كانَ ليلةُ النِّصفِ من شَعبانَ ،
فقوموا ليلَها وصوموا نَهارَها ، فإنَّ اللَّهَ يَنزلُ فيها إلى سماءِ
الدُّنيا ، فيقولُ: ألا من مُستَغفرٍ فأغفِرَ لَهُ ، ألا مِن مُسترزقٌ
فأرزقَهُ ألا من مُبتلًى فأعافيَهُ ألا كذا ألا كذا ، حتَّى يطلُعَ الفجرُ
Maksudnya: Jika sekiranya malam nisfu
syaban maka hendaklah kamu melakukan qiyam dan berpuasa pada keesokan
harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun pada malamnya tatkala
tenggelamnya mata hari kelangit duni seraya berfirman: Adakah dikalangan
orang yang minta ampun kepadaku nescaya aku ampunkannya Adakah
dikalangan orang yang minta rezki nescaya aku rezkikannya. Adakah orang
yang terkena bala atau sakit nescaya aku sembuhkannya, adakah begian,
adakah begian, sehingga terbitnya fajar
Riwayat Ibn Majah dan dinukilkan oleh Ibn Rajab Dalam Lathaif al-Ma’arif
Perbahasan Hadith Ini
Hadis ini dihukum maudhu’ oleh pengarang
al-Manar. Ini kerana pada sanadnya Abu Bakar bin Abdullah bin Muhammad
yang ma’ruf dengan nama Ibn Abi Sabrah. Imam Ahmad mempertikaikannya.
Yahya bin Ma’in berkata beliau adalah yang mendustakan hadis.
Syeikh Muhammad Rasyid ridha berkata hadis ini maudhu’ dan seumpama ini tidak harus mengithbatkan hukum syarie dengannya.
Kedua: Hadis daripada Aisyah R.Anha katanya: Rasulullah SAW mafhumnya :
“Sesungguhnya Allah turun pada malam
Nisfu Sya’ban kelangit dunia dan mengampunkan manusia lebih banyak
daripada bilangan bulu kambing Bani Kalb.
Riwayat Imam Ahmad: 2610, Turmuzi, 739,
Ibn Majah: 1389. Imam Turmuzi menyebut bahwa Imam Bukhari
mendhaifkannya. Imam Syaukani menyebut pada hadis A’syah terdapat dhaif
dan terputus.
Walaupun begitu sebahagian ulama
mutaakhirrin mansahihkannya kerana banyak jalannya. Saya cenderung
kepada pendapat mutaakkhirin berkenaan dengan hadis Aisyah ini.
Penutup
Beramal untuk kehidupan kita janganlah
dibatasi hanya pada hari dan malam tertentu kecuali terdapatnya nas
sahih atau dhaif bukan madhu’ atau dusta. Berkenaan dengan apa yang
dinukilkan oleh Ibn Rejab dalam Lathaif al-Ma’arif halaman
441 dengan bersandarkan kepada perbuatan tabien dan ahli Syam ada
pendapat mengatakan bahawa mereka mengambil pendapat athar Israeiliyat
yang mana kebanyakkan ulama Hijaz menganggapnya sebagai bida’ah.
Saya nyatakan di sini beberapa perkara, jika kita ingin beramal pada bulan Sya’ban terutamanya malam Nisfu Sya’ban.
Pertama: Pandulah mengikut hadis yang sahih ataupun yang dhaif.
Kedua: Jangan sesekali berpegang dengan hadis maudhu’ kerana ia dusta
Ketiga: Jangan beriktikad apa yang tiada nas sebagai syariat
Keempat: Lihatlah juga secara ihtiyat supaya tidak tergelincir daripada perbuatan yang menyalahi nas. Imam Syaukani pernah berkata, “Dalam
al-Fawaid al-Majmuaah halaman 15, telah diriwayatkan solat pada malam
ini (nisfu Sya’ban) mengikut pelbagai sumber semuanya batil dan maudhu’.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada
kita untuk beramal mengikut neraca syariat yang sebenarnya. Marilah
sama-sama kita muhasabah diri sebelum kedatangan Ramadhan untuk
mengislahkan diri dalam mencapai mardhatillah, Amin.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan