Irsyad Fatwa Ke-7 : Mengangkat Tangan Ketika Doa Dalam Khutbah Kedua Jumaat

Adakah perlu makmum mengangkat tangan (menadah tangan) ketika imam membaca doa di dalam khutbah kedua pada hari Jumaat?
Jawapan:
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ . إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: Dan
Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan
bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari
menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.
(Surah al-Ghafir: 60)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِىٓ أَسْمَـٰٓئِهِۦ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Maksudnya:
Hanya milik Allah asma al-husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan
menyebut asma al-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang
dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan
mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.
(Surah al-A’raf: 180)
Daripada
dua ayat di atas menunjukkan betapa umat Islam digalakkan berdoa kepada
Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Berkenaan dengan soalan di
atas, masalah ini khilaf di kalangan ulama’. Syeikh Abdul Aziz bin Baz
dalam Fatawa Islamiyyah berpendapat tidak disyariatkannya untuk
mengangkat kedua tangan ketika khutbah Jumaat, sama ada imam atau
makmum, kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’
al-Rasyidin. Tetapi ketika doa minta hujan di dalam khutbah Jumaat, Nabi
SAW mengangkat tangan. Beliau juga berkata: “Begitu juga perbuatan
makmum mengaminkan doa imam, aku tidak mengetahui tegahannya jika tanpa
mengangkat suara. Tetapi zahir hadis berkenaan dengan doa bahawa ianya
disunatkan mengangkat tangan dan mengaminkannya. Ini kerana Rasulullah
SAW bersabda:
إنَّ
رَبَّكُم تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَييٌّ كَرِيْمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ
عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إلَيهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya
Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi
Mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa,
tiba-tiba tidak diberi-Nya permintaan itu.”
Riwayat
Abu Daud (no: 1490), al-Tirmizi (no: 3556), al-Baihaqi (2965), dan Ibn
Hibban (no: 876). Kata al-Tirmizi, "Hadis ini hasan gharib."
Begitu juga kita digalakkan untuk berdoa pada hari dan malam Jumaat. Dr Wahbah al-Zuhaili melalui kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh
berkata: “Maka diharap dibanyakkan untuk berdoa bertepatan dengan waktu
maqbul diperkenankan doa, di mana Rasulullah SAW menyebutnya pada hari
Jumaat.”
Antara lain, Rasulullah SAW bersabda:
فِيهِ
سَاعَةٌ لاَيُوَافِقُهَا عَبدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي،
يَسْأَلُ اللهَ تَعَالىَ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَأَشَارَ
بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا. وَفي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: وَهِيَ سَاعَةٌ
خَفِيْفَةٌ.
Maksudnya: “Padanya
terdapat satu waktu seseorang hamba Muslim ketika dalam keadaan berdiri
solat memohon sesuatu kepada Allah SWT, kecuali dikurniakannya. Dan
baginda mengisyaratkan dengan tangannya menunjukkan bahawa masanya
sedikit. Dalam riwayat Muslim: Ia adalah waktu yang singkat.”
Riwayat al-Bukhari (no: 893) dan Muslim (no: 852)
Berdasarkan
kepada hal ini, penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan
mengaminkan doa imam secara perlahan kerana ia diharap untuk
dimustajabkan Tuhan. Ini berdasarkan kepada beberapa adab doa,
Rasulullah SAW bersabda:
كَانَ
الرَّجُلُ إِذَا أَسْلَمَ عَلَّمَهُ النَّبِيُّ الصَّلاَةَ ثُمَّ أَمَرَهُ
أَنْ يَدْعُوَ هَؤُلاَءِ الكَلِمَاتِ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ
وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي. وَفِي رِوَايَةٍ: وَيَجْمَعُ أَصَابِعَهُ إِلاَّ الإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلاَءِ تَجْمَعُ لكَ دُنْياَكَ وَآخِرَتَكَ.
Maksudnya:
“Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi SAW akan mengajarnya
bersolat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut: ‘Ya Allah
ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, berikanlah
hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan kurniakanlah rezeki
kepadaku.’ Dalam riwayat yang lain: Baginda merapatkan jari-jarinya
kecuali ibu jari. Kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan
akhirat.”
Riwayat Muslim (no: 2697)
Berkenaan
dengan menyapu muka dengan dua tangan selepas berdoa, sebahagian ulama
mengatakan ia digalakkan berdasarkan beberapa hadith. Antaranya hadith
Ibn Abbas RA berkata:
“Apabila
kamu memohon kepada Allah SWT, mohonlah dengan tapak-tapak tangan kamu
dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka
kamu dengan tapak tanganmu.”
Riwayat
Ibn Majah (no: 3866). Hadith ini dhaif kerana terdapat perawi bernama
Soleh bin Hassan, yang dihukum munkar al-hadith oleh al-Bukhari. Abu
Hatim menghukum hadith ini sebagai munkar. (Al-`Ilal 2/351)
Dalil
lain, diriwayatkan bahawa al-Saaib bin Yazid menceritakan bapanya telah
memberitahu bahawa apabila berdoa, Baginda SAW menadah kedua-dua belah
tangannya, Baginda SAW akan menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan
tersebut.
Riwayat Ahmad (no: 17943) dan Abu Daud (no: 1494). Kata al-Zaila'ie dalam Nasb al-Rayah (3/43), "Ada kecatatan kerana terdapat Ibn Lahi'ah."
Dalil
lain, Umar bin al-Khattab RA menceritakan, apabila Baginda SAW
mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk berdoa, Baginda SAW tidak
akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua-dua belah
tangan tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Riwayat
al-Tirmizi (no: 3386), dan beliau mendhaifkannya. Ibn al-Jauzi dalam al-Ilal al-Mutanahiyah (2/838) menilai hadith ini tidak sahih.
Justeru,
penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan boleh mengaminkan
tetapi dengan suara yang perlahan. Manakala menyapu dua tangan ke muka
selepas selesai berdoa, ia digalakkan oleh sebahagian ulama, tetapi
tidak ada satu hadis sahih yang menyokongnya.
Semoga
kita menjadi golongan yang sentiasa melakukan ibadah solat khususnya
solat Jumaat di samping mempelajari sunnah Nabi SAW mengikut kitab-kitab
hadith dan feqah.
Akhumum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan