MEROKOK: HUKUM DAN PENYELESAIANNYA

Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah
Rabb al-Alamin. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW,
kaum keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga
hari kesudahan. Dalam Bayan Linnas pada kali ini siri ke 19, kami
kemukakan isu berkaitan Merokok: Hukum Dan Penyelesaiannya. Ini
kerana tanggal 31 Mei pada setiap tahun, Sambutan Hari Tanpa Tembakau
Sedunia dianjurkan dengan jayanya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
dengan kerjasama semua pihak.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi
menyambut hari kesihatan ini. Bersempena dengan sambutan ini sekali lagi
amaran kesihatan berkenaan tembakau dikeluarkan dan ditekankan supaya
lebih ramai perokok serta ahli keluarga mereka menyedari bahawa merokok
menjadi punca utama penyakit kronik yang boleh membawa kepada kematian.
Semoga Bayan Linnas pada kali ini
memberi kefahaman yang mendalam kepada kita umat Islam agar menjauhkan
diri daripada tabiat merokok.
Erti Rokok dan Merokok
Rokok menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
ialah tembakau yg digulung dlm daun nipah (kertas dll). Sedangkan
merokok pula ialah perbuatan menghisap rokok.
Jenis Rokok
Dengan peredaran zaman dan masa, banyak
syarikat rokok telah menjenamakan rokok dan menaiktarafkannya. Antara
jenis rokok yang terkenal ialah Dunhill, Benson & Hedges, Kent,
Lucky Strike, Rothmans International dan banyak lagi.
Jenis-Jenis Penyakit Akibat Merokok
Terdapat banyak jenis penyakit akibat daripada merokok. Antaranya:
- Kanser kerongkong: Asap rokok yang disedut akan melalui kerongkong dan menjadi punca kanser.
- Kanser mulut: kesukaran untuk makan kerana kesakitan yang berpanjangan.
- Katarak: Sejenis penyakit mata yang menyebabkan kanta mata menjadi legap dan rabun.
- Ulser Perut: Masalah makanan yang tidak hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak dan sakit atau pedih ulu hati.
- Penyakit Jantung: Aktiviti harian yang terhad. Risiko kematian yang tinggi
- Strok: Penyakit gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba.
Fatwa Mengenai Rokok
Kami nyatakan di sini senaraian fatwa ulama’ berkenaan dengan hukum merokok samada yang terdahulu atau masakini.
Pertama: Fatwa Terdahulu
- Imam Syafie telah menyatakan dalam kitabnya yang masyhur al-Umm
“Jika mereka mengambil (sesuatu makanan,
minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedut) yang boleh
memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram.”
Maksudnya (termasuklah) juga yang
mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggapnya
(memfatwakan) adalah haram. Allah Azzawajalla mengharamkan (apa pun
jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri mereka sendiri.
- Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam Fath Al Mu’in, beliau menyebut tentang dua alasan mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam:
- Ia mendatangkan kerosakan yang nyata atau menimbulkan yang tersembunyi.
- Ia merosakkan tubuh badan dengan jelas.
- al-‘Allamah Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhish Fatawa Ba’dh al-Aimmah al-Muta’akhkhirin (hal. 260) berkata:
“ Tembakau (rokok) sudah dimaklumi
sebagai sesuatu yang halal yang paling buruk dan boleh mengkhayalkan dan
berlakunya pembaziran harta.”
Tembakau bukanlah menjadi pilihan
makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Pengharaman
mengenainya telah difatwakan oleh ulama tasawuf seperti al-Qutb Sayidina
al-Habib Abdullah al-Haddad, al-Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana
yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat keduanya
dan ulama lain yang sependapat dengan mereka.
Begitu juga al-Habib al-Imam al-Husain
bin Syeikh Abu Bakar bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras
mengenai tembakau, beliau (al-Habib) mengatakan:
“ Aku khuatir akan orang yang tidak
bertaubat daripada merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan
su’ al-khatimah (mati yang berkesudahan buruk).”
- Al-Qalyubi : Dalam Majmu ‘ah Sab’ah Kutub Mufidah ada menyebut kenyataan al-Qalyubi:
“Bahawa sultan (pada zaman al-Qalyubi)
telah memerintahkan naib sultan membuat pengisytiharan kepada orang
ramai supaya tidak merokok di pasar-pasar dan dikedai kopi. Mereka yang
melanggar perintah itu adalah berdosa. Oleh kerana itu, sekarang (pada
zaman al-Qalyubi) diharamkan merokok kerana taat kepada perintah raja.”
Kedua: Fatwa Mutakhir atau semasa
- Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (mantan Mufti al-Diyar al-Misriyyah) dalam kitabnya Fatawa Syariyyah wa Buhuth Islamiyyah, mengupas hukum merokok itu:
“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini,
dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan
oleh manusia untuk merokok, ulama fiqah dari pelbagai mazhab Islam pun
membincangkannya untuk untuk menetapkan hukum berdasarkan
prinsip(kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: “ Sesungguhnya
berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus.” Tidak akan terkeluar
daripada prinsip asal(keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara
mendatang(luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram dan makruh.”
- Al-Imam al-Akhbar Mahmud Syaltut: Syeikh al-Azhar Mesir dalam Al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah, (hlm. 384) menyebut mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta:
“Walaupun menghisap tembakau itu tidak
memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang
membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap
orang lain yang tidak merokok.”
- Sheikh Abdullah Babatein memfatwakan: Kami mengharamkan rokok dengan dua sebab utama:
- Boleh memabukkan apabila dihisap atau boleh mengkhayalkan.
- Tembakau atau rokok adalah benda keji, kotor(busuk dan buruk) dan dikategorikan oleh syarak sebagai: “Benda keji, benda kotor dan boleh membinasakan.”
Benda seperti ini nyata diharamkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya:… Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”
(Surah al-A’raf 7:157)
- Syeikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin: “Merokok adalah haram hukumnya berdasarkan makna yang terdapat daripada zahir ayat al-Quran dan al-Sunnah serta iktibar yang benar.”
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”
(Surah al-Baqarah 2: 195)
Maknanya, janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi
kebinasaanmu. Wajh ad-dilalah (aspek penilaian) daripada ayat
tersebutadalah merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri
ke dalam kebinasaan.
Keputusan Majlis Fatwa
- Haiah Kibar Ulama: Dari Lajnah Daimah Lil Buhuth al-Ilmiah wa Ifta’, Arab Saudi yang dibukukan melalui majalah al-Buhuth al-Islamiyyah 5/289 telah mengharamkan rokok.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor: Mewartakan fatwa pengharaman rokok berkuat kuasa pada 7 Dis 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989. Di dalam Enakmen tersebut dijelaskan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi orang Islam.
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah: Berpegang kepada fatwa merokok adalah haram. Walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan, merokok boleh mendatangkan mudharat.
- Kementerian Kehakiman dan Hal Ehwal Islam Emiriah Arab Bersatu(UAE) mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram. Para Imam umumnya menyatakan sokongan terhadap fatwa ini menerusi khutbah Jumaat.
Mereka mengemukakan dalil syari’ serta
bukti perubatan dan saintifik yang menunjukkan merokok adalah punca
sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang boleh menyebabkan maut,
sebagai contoh penyakit kanser.
Imam menyebut firman dan hadis sebagai
bukti kukuh bahawa merokok dilarang oleh syarak. Merokok termasuk dalam
perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT. Ini berdasarkan hakikat bahawa
apa jua yang membawa kepada kerosakan kepada diri dan harta serta
masyarakat dianggap maksiat. Oleh itu merokok termasuk didalam
perkara-perkara yang dilarang dalam Islam
Alasan & Hujahan Pengharaman Rokok
- Membahayakan kesihatan
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”
(Surah al-Baqarah 2: 195)
Dr. Muhammad Ali al-Bar seorang doktor yang juga penulis Hal al-Tabgh wa al-Tadkhin min al-Muharramat terkenal dalam bidang ini. Beliau menegaskan:
“Kesan buruk ke atas kesihatan
disebabkan rokok sekarang adalah lebih berbahaya daripada penyakit taun,
kolera, cacar penyakit paru-paru dan kusta.”
- Memberi mudharat kepada yang lain
Sabda Rasulullah SAW:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)
- Rokok mempunyai racun:
Menurut buku Rokok dan Keharamannya yang memuatkan tulisan Abdullah bin Abdul Rahman al-Sind:
“ Nikotin merupakan suatu bahan
beracun(sejenis dadah yang terdapat dalam daun tembakau) yang lebih
bias(keras) kesannya daripada segala racun.
Seandainya setitik daripada nikotin
diletakkan di atas lidah seekor anjing, nescaya anjing itu akan matio
serta merta, sedangkan anjing itu sejenis haiwan yang lebih tahan
menghadapi racun daripada manusia. (Satu suntikan yang mengandungi 70
miligram nikotin dapat membunuh manusia dalam beberapa minit sahaja.”
Menurut Pengarah Pusat Racun Negara
(PRN) Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak, bahawa
setiap rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar
daripadanya adalah beracun.
- Membazir harta :
Firman Allah swt dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 :
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang
yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula
adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya al-Muhalla (7/503, masalah no. 1027) menegaskan : “pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan haram adalah :
- Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, samada banyak ataupun sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
- Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
- Membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil, membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.
Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berkata :
“Tidak dapat disangkal lagi, menggunakan wang untuk membeli rokok itu adalah sama ertinya dengan membuang wang”.
Sabda Rasulullah saw daripada al-Mughirah bin Syu’bah bahawa Rasulullah saw bersabda :
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ: عُقُوقَ
الأُمَّهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَمَنَعَ وَهَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ
قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah
mengharamkan keatas kamu penderhakaan terhadap ibu-ibu, membunuh
anak-anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci kepada kamu
bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”
(Riwayat al-Bukhari no.5975 dan Muslim no.593)
- Rokok sebagai al-Khaba’ith.
Firman Allah swt dalam surah al-A’raf ayat 157 :
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya : “Dan Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
Huraian mengenai al-Khaba’ith ialah :
- Apa jua perkara yang menjijikan dan tidak sukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal manusia, seperti bangkai dan darah yang mengalir.
- Sesuatu yang menjadi sebab kerosakkan dan bahaya atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada pemakanan.
- Sesuatu yang mememudharatkan dari segi agama seperti binatang sembelihan yang disembelih untuk menghampirkan diri kepada selain Allah swt.
Sementara jijik (keji dan buruk) dari
segi harta benda pula ialah segala harta benda yang diperoleh bukan
dengan jalan hak dan halal, seperti riba’,rasuah, mencuri, merompak dan
lain-lain usaha yang menjijikkan.[1]
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Sesungguhnya isu merokok adalah isu yang
dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi sebenarnya besar kesan
terhadap individu yang terbabit. Perlu dinyatakan di sini banyak akibat
yang mudarat dan tidak baik berlaku kepada perokok dan orang
sekelilingnya. Antaranya pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan
ringgit pada setiap tahun di peringkat negara di billion dollar pada
peringkat dunia. Begitu juga dengan kematian kadarnya seperti 2014
menunjukkan hampir 6 juta kepada perokok dan juga yang berada di
sekelilingnya kerana terkesan akibat asap rokok. Angka tersebut
bertambah dari setahun ke setahun.
Sekali lagi suka saya pertegaskan bahawa
pendapat yang paling kuat dan rajih bahawa merokok hukumnya haram. Saya
nukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mengumpul sejumlah tokoh
ulama’ dalam kitabnya Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah 1/693-710[2] antaranya:
- Ulama Mesir: Syeikhul Islam Ahmad al-Sanhuri al-Buhuti al-Hanbali dan Syeikhul Malikiyyah Ibrahim al-Laqqani.
- Ulama Maghribi: Syeikh Abu Ghaith al-Qasyasyi al-Maliki
- Ulama Syam: Syeikh Najmuddin bin Badruddin bin Mufassir al-Qur’an al-Arabi al-Ghazzi al-Amiri al-Syafie
- Ulama Yaman: Syeikh Ibrahim bin Jam’an dan muridnya Syeikh Abu Bakar bin Ahdal
- Ulama al-Haramain: al-Muhaqqiq Abdul Malik al-Ishami dan muridnya Muhammad bin Allamah dan Sayyid Umar al-Basri
- Ulama Turki: Syeikh al-A’zham Muhammad al-Khawajah, Syeikh Isa al-Sahwah al-Hanafi, Syeikh Makki bin Faruh al-Makki dan Sayyid Sa’d al-Balkhi al-Madani.
Saya mengucapkan syabas kepada
Kementerian Kesihatan yang bersungguh-sungguh melaksanakan Kempen
Anti-Merokok dengan pelbagai cara telah diusahakan. Justeru, amatlah
penting semua pihak menggerakkan program anti-merokok di peringkat
sekolah rendah lagi sehingga ke pada orang dewasa. Alangkah baiknya kita
hidup dalam tahap kesihatan yang terbaik dan selamat daripada
pembaziran yang mungkin boleh dimanfaatkan harta tersebut untuk
pembangunan ummah. Semoga kita semua diberi kefahaman yang mendalam
untuk mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti merokok.
Jalan Penyelesaian
Pelajari kaedah-kaedah yang betul.
Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah
keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan. Antara yang
dicadangkan adalah:[3]
- Tetapkan tarikh untuk berhenti
- Yakin diri
- Buatkan nota peringatan
- Katakan pada diri anda "saya bukan perokok"
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Gunakan terapi penganti nikotin
- Amalkan 12M untuk berhenti merokok
Tip Berhenti Merokok 12 M :
- Melengah-lengahkan
Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
- Menarik nafas panjang
Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
- Minum air
Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
- Menyibukkan diri
Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
- Menjauhkan diri
Daripada orang yang merokok
- Mengelakkan diri
Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
- Mengunyah sesuatu
Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
- Membasuh tangan selalu
- Mandi dengan kerap
- Meregangkan otot
Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk
- Meditasi
- Memohon doa
Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha
Penutup
Menyebut amat mudah sekali, namun belum
tentu mudah untuk melaksanakannya. Walaupun sudah terlalu banya fakta
mengenai kesan tabiat merokok dengan komplikasi kesihatan, adakalanya ia
sekadar dibaca tetapi tidak diaplikasikan dalam kehidupan. Malah kaitan
kesan penggunaan tembakau dengan komplikasi kesihatan sebenarnya sudah
mula diperkatakan sejak tahun 1600.
Akhir sekali, marilah sama-sama kita
berganding bahu dan bekerjasama untuk membuang tabiat merokok dalam
masyarakat kita di Malaysia. Perlu diingat penyakit jangan dicari kerana
akibatnya amat buruk pada kesudahannya. Marilah sama-sama kita
menginsafi diri untuk membuang tabiat yang buruk ini. Semoga Allah
memberi kefahaman kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan mengikut
yang diredhai-Nya. Amin.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
10 Mei 2015 bersamaan 21 Rejab 1436H
[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, 9/117
[2]Yusuf al-Qaradhawi, Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah, 1/693-710
[3] http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/tips%20berhenti%20merokok.php
Tiada ulasan:
Catat Ulasan